KUCHING, 27 Julai: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS di sini hari ini.
Terdahulu sejurus ketibaan, Abang Johari dipersembahkan dengan tarian selamat datang oleh para pelajar di ICats.
Penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak membuka peluang kepada anak-anak Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar melanjutkan pengajian mereka di institusi pendidikan tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak.
Penganjuran ekspo pendidikan itu diadakan secara serentak di seluruh 45 daerah di Sarawak dengan menyasarkan 14,000 pengunjung.
Pada majlis itu juga, Yayasan Sarawak telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) bagi menawarkan kursus perakaunan di tiga IPT iaitu Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Curtin, Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.